Timbalan Menteri Cadang Masukkan BPF Dalam Kalendar Tahun Melawat Malaysia 2020 (2)
- Butiran
- Suzalina Halid
BALIK PULAU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempertimbang untuk memasukkan acara Festival Balik Pulau (BPF) yang pertama kali diadakan ini dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).
Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata pihaknya akan menjadikan BPF sebagai tarikan baharu ke Pulau Pinang susulan kejayaannya menerima kehadiran lebih 15,000 pengunjung, sepanjang tiga hari sejak Jumaat lalu.
"Kita rancang sebegitu untuk mengadakan acara ini sebagai program tahunan di Pulau Pinang dan kita mahu jadikan ia sebagai tarikan baharu di sini.
"Ini kerana kita boleh anggap penganjuran tahun pertama program ini sebagai berjaya kerana berjaya menarik kunjungan lebih 15,000 termasuk kira-kira 7,000 kanak-kanak dalam acara animasi sahaja. Kita mendapati pulangan pelaburannya amat berbaloi, " katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian BPF, di sini.
BPF yang menampilkan 14 pengisian utama antaranya Festival Kesenian Balik Pulau, lukisan mural, demonstrasi kraf dan program semarak warisan ini dirasmikan Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.
Pada masa sama, Muhammad Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, berkata BPF juga akan diadakan pada musim durian sebagai nilai tambah terhadap produk pelancongan di sini.
Beliau berkata, pihaknya juga memfokuskan untuk menarik golongan muda pada penganjuran akan datang bagi memastikan mereka mengenali, sekali gus mencintai budaya seni, khususnya tarian tradisional.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara akan memperkasakan program tarikan pelancongan daerah di seluruh negara bagi memperkenalkan budaya setempat kepada masyarakat luar.
Katanya, selain BPF, kementerian itu turut menganjurkan Festival Seni Selat Melaka; Pesta Angin Timur di Perlis; Pesta Chenor, Pahang dan Festival Sayangi Lahad Datu.
"Kita akan menganjurkan pula Festival Sayangi Lahad Datu di Sabah bulan depan untuk kita ketengahkan tarikan pelancongan eko di sana," katanya.